4 Objektif Simpanan Dan Pelaburan Emas Perak

Antara langkah awal untuk menajamkan lagi pengetahuan dan kemahiran tentang emas, saya telah membuat sedikit pelaburan untuk membeli buku-buku berkaitan dengan emas dari beberapa orang yang saya anggap sifu dalam bidang ini. Untuk itu, saya telah membeli sebuah buku yang bertajuk  "Menyingkap Rahsia Pelaburan Emas" dari En. Syukor Hashim. Buku ini telah memperincikan pengalaman beliau semenjak berkecimpung dalam dunia pelaburan emas beberapa tahun yang lalu.

Sesi Bedah Buku

Kandungan terawal buku ini telah menghuraikan khusus tentang apa objektif untuk kita menyimpan dan melabur emas. Sebelum keputusan dibuat untuk memiliki emas sebagai aset simpanan dan pelaburan, kita haruslah jelas tentang objektif dan halatuju portfolio emas tersebut. Haruslah difahami bahawa memiliki emas adalah semata-mata alat untuk menyempurnakan objektif yang telah ditetapkan. Setiap individu memiliki objektif yang berbeza untuk dicapai. Jadi, buat satu perancangan portfolio emas dengan aqal yang waras dan bukannya bertindak atas emosi semata.

Buku ini telah menggariskan bahawa terdapat 4 objektif utama untuk simpanan dan pelaburan emas sepertimana di berikut :

  1. Sebagai insurans kekayaan
  2. Pelaburan dan simpanan
  3. Pelaburan
  4. Spekulasi.

Emas dan perak sebagai insurans kekayaan.

Objektif yang pertama ini adalah bermaksud pemilikan logam emas dan perak sebagai pelindung kepada kekayaan yang sedia ada dimiliki. Selain meletakkan kekayaan pada nilai matawang, hartanah dan saham, pakar-pakar kewangan menyarankan agar sekurang-kurangnya 10% dari aset yang kita miliki adalah disimpan pada emas.

Emas bersifat kalis inflasi. Dalam apa jua keadaan ekonomi terutamanya ketika gawat dan darurat, emas boleh menjadi penyelamat dan penerus kehidupan. Secara logik aqal untuk difikirkan, aset didalam bentuk hartanah, saham dan matawang amat terdedah kepada risiko kerosakan, kebakaran, penyusutan nilai dan pelbagai lagi. Sekiranya aset-aset selain emas yang kita miliki telah musnah, In Sya Allah dengan 10% emas yang kita miliki mampu untuk membina semula kehidupan.

Medium : Emas fizikal

Nota : Baca tentang kisah pelarian perang Vietnam yang membawa emas sebagai bekalan.

Emas dan perak sebagai aset simpanan dan pelaburan

Emas adalah antara aset yang paling mudah untuk dimiliki sebagai simpanan dan pada masa yang sama ia juga menjadi aset pelaburan untuk jangka masa panjang. Emas bersifat seperti wang yang boleh di miliki sedikit demi sedikit atau istilah yang lebih tepat ialah menabung. sebagai contoh, dengan bajet yang kecil kita boleh memulakan simpanan serendah 0.5 gram ataupun 1 gram dan menambahnya secara konsisten setiap bulan dengan gandaan jumlah yang sama.

Simpanan emas untuk jangka panjang sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan juga kerana harga emas sentiasa naik tahun demi tahun. Dengan sifatnya yang hampir mengekalkan kuasa beli dan tidak terhakis dek inflasi, emas dan perak berpotensi untuk memberikan keuntungan simpanan jangka panjang.

Medium : Emas fizikal dan/atau akaun emas.

Nota : Baca tantang kisah harga kambing sebanyak 1 dinar pada zaman nabi dan sekarang. Juga baca tentang menyimpan dinar untuk pergi haji.

Emas sebagai pelaburan

Emas juga boleh dijadikan satu instrumen pelaburan sepertimana pelaburan dalam bentuk saham, hartanah dan saham amanah (unit trust). Bagi objektif ini anda bokeh memilih untuk membeli saham-saham syarikat perlombongan atau Gold Exchange Traded Fund.

Emas sebagai pelaburan bersifat spekulasi

Pelaburan bersifat spekulasi boleh diterangkan maksudnya sebagai pelaburan yang membuat keuntungan daripada pergerakan harga emas. Ianya tidak melibatkan produk emas fizikal. Bagi objektif ini, pelabur perlu memahami faktor - faktor fundamental dan teknikal harga emas. Medium : BSKL Gold Futures dan Spot Gold.

Rumusan

Setelah saya menerangkan 4 objektif berkenaan pelaburan dan simpanan emas, maka adalah penting untuk menetapkan objektif simpanan dan pelaburan emas kita sendiri. Objektif yang kita tetapkan akan memandu aktiviti kita berkenaan emas dan akan menentukan hubungan kita dengan emas sama ada kita adalah hanya penyimpan, pelabur atau kedua-duanya sekali.    

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*